KUALA LUMPUR 5 Mac – Umat Islam hari ini laksana sampah-sarap dan buih yang tidak bermaya dihanyutkan arus diskriminasi secara terus-menerus.
Itulah luahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi catatan mengenai krisis di Kashmir, Pakistan dan India dalam laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menerusi catatan itu mengharapkan kerjasama dalam kalangan negara-negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membela nasib umat Islam daripada terus ditindas pihak tidak bertanggungjawab.
Abdul Hadi malah menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pungutan suara secara demokratik bagi menangani krisis itu khususnya melibatkan wilayah Kashmir, Pakistan dan India.
“Malangnya dunia yang dikatakan moden ini sentiasa tidak berpihak kepada umat Islam di mana-mana sahaja dan umat Islam terus dijadikan mangsa kezaliman yang tidak dibela oleh masyarakat antarabangsa seperti juga di Palestin, Rohingya dan Uighur.
“Kita mengharapkan kerjasama OIC dapat berfungsi bagi membela nasib umat Islam di tengah masyarakat antarabangsa secara adil dan menghormati konsep hak asasi manusia yang meninggalkan era kolonialisme bagi menangani krisis yang berpanjangan ini. Namun umat Islam menjadi laksana sampah sarap dan buih yang tidak bermaya dihanyutkan arus diskriminasi yang terus-menerus,” katanya.
Konfrontasi Pakistan-India dilihat bertambah buruk dengan Islamabad mendakwa menembak jatuh dua pesawat tempur India hari ini, sehari selepas New Delhi melancarkan serangan udara di wilayah pertikaian Kashmir sejak bulan lalu.
Abdul Hadi berkata, negara OIC perlu memainkan peranan masing-masing untuk menghentikan krisis tersebut.











