JIKA dahulu jemputan perkahwinan dilakukan menerusi kad fizikal tetapi seiring peredaran masa dan dipacu oleh kecanggihan teknologi telah merubah wajahnya ke arah digital.
Justeru, penghasilan kad kahwin digital yang dikenali sebagai UNDANGAN.MY oleh Syarikat Kretivco Mediaworks merupakan satu percaturan yang bijak.
UNDANGAN.MY yang pada mulanya menjadi bualan warga Twitter turut dikenali sehingga ke luar negara seperti Brunei apabila Kretivco Mediaworks menerima tempahan pelanggan dari negara itu.
Menurut Pengasas Kretivco Mediaworks, Amirul Hafiz Zulkefly, 26, pada awalnya syarikat tersebut mengusahakan kad perkahwinan fizikal dan beberapa perkhidmatan lain seperti percetakan baner, papan tanda serta pengiklanan.
“Produk percetakan kad kahwin mempunyai saingan yang hebat lantas kami memikirkan satu idea bagi mencari kelainan.
“Kami ingin menyelesaikan masalah yang sering dihadapi orang ramai apabila berkaitan undangan perkahwinan,” katanya ketika ditemui Infiniti di pejabat Kretivco Mediaworks yang terletak di Jalan Jubli Perak 22/1, Seksyen 22, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda, Pengkomputeran Multimedia daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka, hasil perbincangan bersama staf maka lahir UNDANGAN.MY yang merupakan kad jemputan perkahwinan digital.
Ciri istimewa
Beliau dan pasukannya yang mempunyai latar belakang pengkomputeran menggunakan kelebihan itu untuk mencipta produk berinovasi tersebut.
Jelas anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, kad digital tersebut mempunyai ciri-ciri istimewa bagi memudahkan pelanggan membuat undangan serta tetamu yang bakal hadir.
Antara ciri-ciri tersebut seperti kalendar, mengetahui berapa orang yang bakal hadir, nombor untuk dihubungi, Google Map, peringatan tarikh menerusi notifikasi, buku tetamu digital, hotel terdekat dengan tempat majlis tersebut dan tanda pahar (#) untuk dimasukkan ke dalam Instagram.
Menariknya, tempahan kad kahwin itu boleh disiapkan dalam masa 10 minit dengan harga RM95 untuk jemputan tetamu tanpa batasan malah kosnya lebih rendah berbanding kad yang dicetak iaitu antara 50 sen hingga RM18 sekeping serta mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan.
Alam sekitar
Tutur Amirul Hafiz, pelanggan perlu melayari laman sesawang UNDANGAN.MY dan memasukkan butiran penting seperti pada kad fizikal iaitu alamat, nama pengantin, nama ibu bapa pengantin dan tarikh.
Akui Amirul Hafiz, usaha tersebut menjadi salah satu usaha pihaknya dalam membantu memulihara alam sekitar.
Kretivco Mediaworks yang digerakkan oleh 10 orang staf itu kini mengambil masa selama setahun untuk membangunkan UNDANGAN.MY dan ia dilancarkan pada bulan Januari lalu.
Sementara itu, Pengasas Bersama Kretivco Mediaworks, Nurfadilah Rahmat, 26, berkata, dengan hanya satu klik urusan undangan perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sistematik.
“Kami sedaya-upaya menghasilkan ciri-ciri yang lebih mesra pelanggan, mudah digunakan dan tidak terlalu rumit.
“Sehubungan itu, kami beberapa kali mengubah koding yang lebih mudah difahami oleh masyarakat secara umum,” ujar anak kelahiran Ampang, Selangor itu.
Terangnya, UNDANGAN.MY merupakan satu platform jemputan yang tidak terhad kepada majlis perkahwinan sahaja sebaliknya ia juga boleh digunakan untuk pelbagai jemputan seperti majlis akikah dan rumah terbuka.
Berbicara mengenai perancangan syarikat tersebut, Nurfadilah memberitahu, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan pengusaha perkahwinan dari seluruh negara untuk memasukkan UNDANGAN.MY dalam pakej perkahwinan mereka.
Sementara itu, salah seorang pereka grafik, Qarr Jalil, 28, berkata, syarikat tersebut mempunyai 172 rekaan menarik dan bakal bertambah dalam masa terdekat.
“Terdapat enam tema yang disediakan seperti bunga-bungaan, moden, tradisional, minimalis, islamik dan rustic.
“Tema yang paling mendapat sambutan ialah bunga-bungaan dan tradisional,” ujarnya yang mengakui mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan setiap satu tema tersebut.











