Sayembara berusia lebih tiga dekad - Utusan Malaysia

Sayembara berusia lebih tiga dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIA mengikuti kemelut panjang penderitaan pelarian Rohingya beberapa tahun lalu membuatkan jiwa Sri Rahayu Mohd. Yusop, 43, meronta-ronta untuk berbuat sesuatu.

Namun begitu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya, Kuala Lumpur itu sedar dirinya tidak mampu turun ke lapangan membela nasib etnik teraniaya tersebut.

Maka, berbekalkan bakat menulis, dia mengumpul bahan penulisan selama kira-kira setahun dari akhir 2016 hingga 2017 sebelum meluahkan getar rasanya menerusi karya berjudul Selendang Merah Balukhali yang dinobat sebagai juara Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ke-33 baru-baru ini.

“Ketika itu saya fikir jika saya tidak menulis cerita ini saya akan rasa menyesal, sakit hati dan belum menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warga planet Bumi yang prihatin terhadap nasib orang lain.

“Paling sedikit yang boleh dilakukan ialah menulis kisah ini dari kaca mata saya. Benar saya tiada pengalaman sebagai seorang pelarian, tetapi saya ceritakan melalui apa yang saya lihat di media dan terjemahkan cerita ini serapat yang boleh dengan realiti sebenar,” ujarnya kepada K2 baru-baru ini selepas dinobatkan sebagai pemenang pertama kategori utama tersebut pada majlis yang berlangsung di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur.

Sering mewarnai HSKU dengan menggondol tempat pertama menerusi novel berjudul Bukan Legasi Lalang (2000) Merdekakan Cinta Ratna (2002), Warisnya Kalbu (2007), Kasih Nan Agung (2008), Impuls/Roh (2009) dan Bimasakti Menari (2010), buah tangan Sri Rahayu kali ini berbeza dengan karya terdahulu.

Mesej

Tidak lagi terikat perangkap dunia masa lampau, kisah klasik dan permainan cerita dalam cerita yang berlapis-lapis, Selendang Merah Balukhali digarap secara linear bertujuan menyampaikan mesej secara terus dan berkesan.

“Kita harus buka minda dalam melihat apa yang berlaku di luar negara kita supaya kita bersyukur dengan apa yang dimiliki.

“Bagi saya platform seperti HSKU penting kerana ia memberi peluang kepada penulis untuk menyampaikan mesej. Menerusi karya dihasilkan, ia boleh membawa kesedaran dan mungkin memberi inspirasi dalam menggerakkan aktivis bagi membela hak pelarian tertindas,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, watikah penghargaan dan naskhah novel nukilannya.

HSKU mula diperkenalkan pada 1985 dan ia dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1986. Sehingga tahun ini yang memasuki penganjurannya kali ke-33, HSKU masih terlestari sebagai sebuah institusi pengiktirafan karya sastera paling lama bertahan.

Menelusuri sejarah lebih tiga dekad penganjuran HSKU, sayembara ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam melahirkan karya-karya bermutu tinggi dalam genre novel, cerpen, puisi dan esei kritikan sastera.

Sasterawan Negara seperti Allahyarham Shahnon Ahmad dan Zurinah Hassan juga pernah bergelar pemenang dalam pertandingan penuh prestij ini.

HSKU bemula dengan kategori cerpen dan sajak serta cerpen remaja pada 1986 sebelum berkembang kepada novel remaja (1988), kajian dan rencana sastera (2000) dan serta puisi pada 2002.

Isu antarabangsa

HSKU ke-33 yang berlangsung baru-baru ini telah menyampaikan hadiah kepada 38 pemenang bagi pelbagai kategori.

Bagi kategori Novel Remaja yang merupakan kategori utama telah dimenangi oleh Sri Rahayu diikuti pemenang kedua, Nazri Hussein (Si Penenun Cinta) dan ketiga Dayang Ku Mastura Pengiran Ismail (Ayah).

Antara nama lain yang diumumkan sebagai pemenang ialah Norshah Aizat Shu­aib untuk kategori Cerpen Media Baharu; Roslan Jomel dan Ramlee Wahab (Rencana Sastera); Zain Idris Al-Tobiari, Ahmad Fadhil Mohamad Pakarul-Razy dan Syed Mohd. Zakir Syed Othman (Puisi); Saeed Zubeir Zahari, Mohd. Khairul Riza Tuan Mohd. Yusop dan Azman Ismail (Cerpen Umum) serta Nazri Hussein, Maskiah Masrom dan Zainal Rashid Ahmad (Cerpen Remaja).

Pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin yang turut merupakan seorang ahli panel HSKU melihat beberapa tahun kebelakangan ini, pengarang cenderung meneroka tema melibatkan isu antarabangsa dan mencari kebenaran di sebalik sejarah malang yang berlaku.

Justeru karya yang dihasilkan tidak berlandaskan imaginasi semata-mata tetapi disokong kajian, penyelidikan, fakta dan muatan ilmu serta boleh menjana pemikiran pembaca.

Baginya, menghasilkan cerpen atau novel remaja tidak merendahkan tahap kepengarangan seseorang malah tugas itu penting untuk melahirkan contoh remaja unggul.

“Dalam konteks karya-karya yang terbit di Kumpulan Utusan yang mempunyai khalayak pembaca yang luas, novel serta cerpen remaja dapat memberi inspirasi kepada remaja kita untuk mengenai sesuatu isu, hal yang positif dan matang,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Dasar Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga merupakan Pengerusi Panel Juri, Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim berkata, sesi perbincangan dan perdebatan menjadi medan lontaran buah fikiran dalam menentukan kekuatan sesuatu karya dengan panel meneliti manuskrip tanpa mengetahui siapa pengarangnya.

Katanya, HSKU sebagai sebuah institusi pengiktirafan karya yang paling lama bertahan telah mengangkat karya-karya yang disifatkan ‘benar-benar teruji’.

“Ini kerana ia berpotensi dimanfaatkan bagi tujuan pengukuhan nilai serta rujukan penyelidikan. Malah, menjadi bahan, pengajaran dan pembelajaran pada peringkat sekolah menengah khususnya subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.

Kepada Dr. Norshah Aizat Shuaib, 30, yang merupakan pemenang pertama bagi Cerpen Media Baharu menerusi cerpen berjudul Pondok Ayah menyifatkan, kategori yang baru diperkenalkan pada tahun 2017 itu dapat menarik minat masyarakat terutamanya anak muda untuk membaca karya sastera.

Pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Perlis itu berkata, aktif menulis sekitar tahun 2008, karya tersebut ditulis sewaktu sedang menjalani kursus jangka pendek di Surabaya, Indonesia dengan proses menyiapkannya mengambil masa sekitar tiga minggu.

Sebelum ini, anak kelahiran Kangar, Perlis itu pernah beberapa kali menjadi finalis HSKU serta memenangi hadiah utama cerpen pada 2012 selain Hadiah Sastera Berunsur Islam pada tahun 2012 dan Hadiah Sastera Selangor 2018.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang mula diperkenalkan sejak tahun 1985 dilihat masih berbisa dalam perkembangan bidang sastera di negara ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN