Perkenal portal padanan pekerjaan guna AI - Utusan Malaysia

Perkenal portal padanan pekerjaan guna AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mac – Sebuah portal ekosistem pekerjaan pertama yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam memudahkan pencarian pekerjaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberitahu, portal bakal dibangunkan oleh Smart Trends International iaitu sebuah syarikat perundingan transformasi perniagaan dan penyelesaian modal insan itu sekali gus akan membantu usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah pengangguran anak muda di negara ini.

“Portal ini memudahkan dan mempercepat proses untuk mencari dan mendapat pekerjaan kerana memberikan peluang kepada anak muda mempertingkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka melalui kaedah AI dan dilengkapi ‘pasport kemahiran’ yang akan memadankan kriteria anak muda tersebut dengan pasaran industri.

“Industri juga akan mendapat manfaat kerana mereka tidak perlu lagi jauh mencari anak muda berbakat kerana melalui portal ini, pasport kemahiran itu akan memberitahu kepada majikan tentang kewibawaan dan kebolehpasaran seseorang anak muda tersebut supaya boleh diserapkan ke pasaran industri atau organisasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smart Trends International dengan NOCN United Kingdom di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata, kerajaan komited menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berimpak tinggi bagi menangani kadar pengangguran golongan muda Malaysia yang direkod tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional iaitu 10.8 peratus pada 2017.

“Seperti portal ini, Kementerian Belia dan Sukan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang menjadi dilema anak muda negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN