Khairul Idham sedia beri cabaran - Utusan Malaysia

Khairul Idham sedia beri cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mac – Pelumba Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi bersedia memberi cabaran sengit bersama pasukan baharunya, Petronas Sprinta Racing pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 di Litar Antarabangsa Losail, hujung minggu ini.

Khairul Idham yang juga dikenali sebagai Super KIP, kini mengambil langkah seterusnya dalam kariernya dengan mengharungi saingan di litar berkenaan yang sudah diuji minggu lepas, dan berusaha mengekalkan rentak tunggangan pada perlumbaan Grand Prix Qatar, Ahad ini.

“Akhirnya permulaan musim ini secara rasmi akan tiba. Ini masa yang saya tunggu sejak ujian pertama bersama Petronas Sprinta Racing pada November lepas.

“Kita mempunyai persiapan pramusim yang baik, dan kini masanya untuk berlumba. Masih banyak perlu kita buktikan dan kita berpotensi melakukannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas segala kerja keras dan penambahbaikan dilakukan setakat ini.

“Kini masanya untuk kita beralih kepada mod perlumbaan dan melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu mengecapi dua kejayaan semasa bersaing dalam kategori Moto3 pada musim 2016 apabila menamatkan perlumbaan pada kedudukan podium di Argentina dan Jerman.

Grand Prix Qatar akan berlangsung dari 8 hingga 10 Mac ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN