PULAU PINANG 5 MAC – KEMPEN War on Sugar and Creamer (perangi gula dan krimer) dalam minuman semasa perbincangan formal yang sedang giat dijalankan di dalam kampus Universiti Sains Malaysia (USM) ketika ini adalah untuk manfaat dan kebaikan bersama.
Menurut Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid, dasar penyediaan minuman tanpa atau kurang gula semasa perbincangan formal telah dikuatkuasakan di semua kampus bermula 1 Januari lalu.
“Tujuan dasar ini diwujudkan adalah bagi menggalakkan amalan minuman secara sihat semasa perbincangan formal seperti ketika mesyuarat, kursus, seminar, persidangan, makmal dan bengkel di dalam kampus USM,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Menurut Normala, inisiatif itu diharap mendapat sokongan daripada semua warga kampus USM sekali gus memberi kebaikan menerusi pengurangan penyakit-penyakit lain terutama diabetes.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan lebih ramai warga kampus untuk berikrar dalam menyokong dasar memerangi gula dan krimer itu dengan melekatkan pelekat-pelekat kempen.
“Selain itu, Pusat Sejahtera juga telah mengadakan kuiz dalam talian yang terbuka kepada kakitangan dan penuntut di semua kampus USM berhubung kempen ini dan pemenang utama bakal mendapat hadiah tajaan Richiamo Coffee.










