PUTRAJAYA 5 Mac – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis masih sesuai dan belum terlambat walaupun kes itu berlaku empat tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun tindakan susulan perlu diambil terhadap perkara menjejaskan kedaulatan serta imej negara itu.
“Banyak laporan dibuat, siasatan juga telah dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk di Thailand, namun masih ada pihak seperti mempunyai asas kukuh dan tidak berpuas hati.
“Disebabkan itu, ia telah menjejaskan imej negara termasuk kedudukan persepsi dan walaupun lambat, pada saya tidaklah terlalu lambat (penubuhan RCI) kerana apabila ia menjejaskan soal kedaulatan dan imej negara, kita kena buat sesuatu.
“Justeru pada saya, tidak mengapalah, biar lambat asal selamat dan saya jangka apabila selesai siasatan RCI nanti, tidak ada lagi perkara berbangkit bahawa Malaysia langsung tidak kisah, berdiam diri atau tidak berbuat apa-apa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelantikan Ahli RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, di sini hari ini.
Tujuh ahli RCI menerima surat pelantikan hari ini termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang dilantik sebagai Pengerusi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai sebagai Timbalannya.
Selain itu, ahli RCI lain adalah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharudddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Tan Sri Razali Ismail; bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman; bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw.
Sementara itu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, kerajaan sedar bahawa rakyat Malaysia mengambil berat mengenai isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia termasuk tragedi kemanusiaan di negara sendiri.
“Justeru penubuhan RCI ini dilihat amat bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk mencari kebenaran berhubung tragedi ini menerusi siasatan yang telus dan bebas.
“Di peringkat serantau pula, Malaysia adalah peneraju bagi isu penyeludupan migran iaitu salah satu bidang keutamaan berkaitan jenayah rentas sempadan di peringkat ASEAN.
“Oleh itu, selaku peneraju dalam isu ini, tindakan yang diambil oleh Malaysia melalui pewujudan RCI ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu yang tidak berperikemanusiaan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










