JERANTUT – Laluan Jerantut-Maran ditutup sementara waktu ekoran kebakaran hutan di tepi jalan utama berhampiran Taman Perdana di sini.
Pengguna jalan raya dari arah pusat bandar terpaksa dilencongkan ke laluan alternatif di Taman Impian untuk ke Jengka dan Maran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang ini, dua jentera bomba bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut dilihat memadam kebakaran bagi mengelak api terus marak.
Turut kelihatan dua jentera bomba sukarela dari Damak memadam kebakaran berhampiran kawasan perumahan berdekatan.
Difahamkan, terdapat beberapa kebakaran di kawasan hutan dan semak sekitar daerah ini ekoran cuaca panas terik.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membuang puntung rokok di kawasan mudah terbakar. – K! ONLINE










