KUALA LUMPUR 5 Mac – Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan untuk membaik pulih ekonomi Malaysia yang semakin tenat.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, krisis terbaharu yang perlu diberi perhatian adalah kerugian Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) sebanyak RM6.30 bilion bagi tahun 2018.
“Terbaru, kita lihat dalam tempoh tahun 2018, sembilan syarikat di bawah portfolio Khazanah mengalami kejatuhan nilai saham yang menjunam mengakibatkan kejatuhan nilai RM64.5 bilion (Market Capital).
“Keadaan ini sangat berbeza jika dibandingkan pada tahun 2017 iaitu nilai saham pelaburan Khazanah berada di tahap tertinggi.
“Jika di Semenyih, calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu dengan beraninya menjanjikan masalah akan selesai dalam masa sehari jika menang, kenapa pula kepemimpinan tertinggi PH yang menang PRU-14 lalu tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi ini walaupun sudah kira-kira 10 bulan memegang jawatan!” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











