KUALA LUMPUR 5 Mac – Beberapa pemimpin tertinggi Pas berada di Menara Dato’ Onn, ibu pejabat UMNO di sini, sejak pukul tiga petang tadi, untuk membincangkan mengenai penubuhan jawatankuasa perunding peringkat tertinggi bagi membentuk penyatuan ummah melibatkan kedua-dua parti.
Pemimpin Pas itu diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementera itu, pemimpin UMNO yang terlibat ialah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan beberapa lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti.
Annuar sebelum ini berkata, langkah penyatuan dan solidariti ummah itu dilihat sebagai inisiatif merentas sentimen politik dan wajib dilakukan apabila melihat senario politik semasa yang cukup mengecewakan rakyat. – UTUSAN ONLINE











