Iklan 'zero deposit' beli kereta adalah satu kesalahan  - Utusan Malaysia

Iklan ‘zero deposit’ beli kereta adalah satu kesalahan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sedar atau tidak, tawaran pembayaran tanpa pendahuluan dilakukan oleh syarikat penjualan kenderaan termasuk kereta terpakai sebenarnya salah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini berikutan bayaran 10 peratus pendahuluan adalah termaktub dalam Akta Sewa Beli 1967. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, bagaimanapun ramai syarikat penjual kereta enggan mematuhi arahan itu atas alasan bagi melariskan jualan.

Katanya, ini berdasarkan pemeriksaan terhadap 35 premis di sekitar Selangor menerusi Ops 0% Deposit semalam bermula pukul 11 pagi.

“Dalam operasi tersebut, didapati 11 daripada premis tersebut meliputi syarikat kereta terpakai dan pengedar sah didapati melanggar arahan itu.

“Syarikat ini didapati mengambil deposit kurang 10 peratus daripada harga tunai kenderaan dengan mengubah spesifikasi dan aksesori dalam perjanjian surat pembelian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, tindakan penjual kereta itu akan mengakibatkan pelbagai pemasalahan di kemudian hari berhubung isu pengguna. 

Ujarnya, ini termasuk dalam memanipulasi harga dalam insuran, penggantian alat ganti kereta akibat kemalangan dan seterusnya pertikaian pembayaran balik antara pembeli dan bank. 

“Perkara yang paling dibimbangkan apabila pembeli atau pengguna gagal membayar komitmen bulanan mereka sehingga disenarai hitam serta diisytiharkan muflis. 

“Situasi itu juga mungkin berlaku kepada mana-mana individu yang bertindak sebagai penjamin,” katanya. 

Jelas beliau, 11 syarikat yang didapati bersalah itu telah diarahkan memberhentikan iklan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Sewa Beli 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 46 (1) (a) akta yang sama. 

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 bagi syarikat manakala individu pula boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda RM25,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN