KUALA LUMPUR 5 Mac – MCA dan MIC menegaskan hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kepemimpinan dua komponen BN menjelaskan, mesyuarat bersama MCA dan MIC semalam telah membuat ketetapan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti tersebut.
Oleh demikian, kedua-dua parti itu telah menyampaikan pendirian jelas kepada urusetia BN bahawa Mohamed Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini.
“Sekiranya Mohamed Nazri berdegil dan hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, maka kesahihan mesyuarat tersebut akan dipertikaikan.
“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA dan MIC hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran. – UTUSAN ONLINE











