KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 16 lagi pertuduhan baharu melibatkan pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta (RM154.1 juta) dan SG$2.5 juta (RM7.5 juta) termasuk memindahkan aset 13 tahun lalu.
Musa, 68, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa melibatkan diri secara langsung dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan seorang individu, Richard Christopher Barnes untuk membuka akaun di Bank UBS AG, Singapura atas nama individu sama untuk menerima aktiviti haram.
Tertuduh turut didakwa pertuduhan alternatif membabitkan perbuatan sama untuk menyembunyikan hasil wang aktiviti haram miliknya.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-15 Musa didakwa membabitkan diri dalam aktiviti sama dengan menerima sejumlah wang daripada tiga individu dan lima buah syarikat bernilai AS$37.8 juta dan SG$2.5 juta.
Sementara pertuduhan ke-16 tertuduh didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di Bank UBS AG, Zurich di mana kesemua aset itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank UBS AG di Hong Kong dan Singapura antara 21 Jun 2006 hingga 14 Mei 2008.
Bagi kesemua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. – K! ONLINE










