KLANG – Rancangan seorang tekong darat membawa 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup keluar dari negara ini secara haram gagal selepas ditahan di Batu 1, Kunci Air Buang, Tanjung Karang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, suspek berusia 67 tahun ditahan bersama kesemua PATI berumur 22 hingga 68 tahun yang diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM).
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, kejayaan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap tempat tinggal PATI di sebuah rumah di situ.
Katanya, siasatan mendapati tekong itu bertindak sebagai ejen penghantaran dan menyediakan tempat tinggal PATI itu.
“Kita turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Waja bersama wang tunai bernilai RM2,000.
“Turut dirampas dalam operasi itu adalah dadah jenis syabu seberat 465 gram bernilai RM83,700 yang disembunyikan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan PATI yang berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nilai kesemua rampasan termasuk Proton Waja itu adalah RM95, 700.
Menurut Khairuddin, dalam operasi itu didapati kesemua 33 PATI yang ditahan melibatkan 15 lelaki dan selebihnya wanita.
Tambah beliau, sewaktu ditahan mereka didapati sedang menunggu untuk dibawa keluar dari negara ini secara haram.
“Berdasarkan siasatan awal PATI itu dipercayai telah berada di negara ini di antara setahun hingga tiga tahun.
“Bayaran bagi seorang PATI yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM1,800 bagi tujuan penyusupan keluar dari negara ini,” katanya.
Jelas beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/60. – K! ONLINE










