KUALA LUMPUR 5 Mac – Brahim’s Holdings Bhd (BHB) menyasarkan untuk keluar daripada status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) seberapa segera selepas disenaraikan pada kedudukan itu, minggu lepas.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata syarikat itu akan mengemukakan pelan komprehensif yang turut membabitkan perbincangan strategik dengan rakan niaga bagi menyemak semula struktur modal dan perniagaannya dalam usaha mematuhi ketetapan penyenaraian Bursa Malaysia.
“Kami tidak merancang untuk dinyahsenarai dan berazam untuk keluar daripada status PN17 berkenaan.
“Kami juga berada dalam perniagaan yang tepat dan sebagai penggiat utama halal global, kami mahu memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, pembekal, rakan usaha saham dan pekerja bahawa operasi perniagaan tidak terjejas dengan status itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ibrahim berkata syarikat itu akan turut mendapatkan pandangan penasihat prinsipal bagi merangka serta mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh tiga bulan akan datang serta membuat pengumuman sewajarnya selepas itu.
“(Buat masa ini) kami tidak dapat menyatakan bagaimana kami akan keluar daripada status itu sehinggalah mendapat gambaran jelas hala tuju yang perlu diambil.
“Kami turut meneliti semua pilihan yang ada dan berusaha ke arah memperbaiki pengurusan kos dalam operasi utama bukan dagangan, termasuk menilai semula kontrak pemerolehan pembekal, penyelenggaraan dan baik pulih,” katanya.
Beliau juga pada masa sama berkata syarikat itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melupuskan aset serta mengurangkan kakitangannya.
Malah, perniagaan teras syarikat itu dalam penyajian makanan dalam penerbangan tidak akan terjejas dan operasi juga berjalan seperti biasa.
Ibrahim turut menjelaskan bahawa dua entiti perniagaan Brahim’s iaitu Brahim’s Holdings dan Dewina Holdings Sdn Bhd adalah berbeza dan tiada sebarang kaitan.
Menurutnya, Brahim’s Holdings merupakan sebuah syarikat tersenarai awam dengan perniagaan teras dalam bidang penyajian makanan penerbangan, operasi makanan dan minuman serta operasi gudang.
Beliau yang juga Pengerusi Dewina Holdings berkata entiti itu (Dewina Holdings) sebaliknya sebuah syarikat swasta dengan perniagaan teras dalam pengeluaran makanan, pengurusan kemudahan dan penyajian makanan ketenteraan, pemasaran dan pengedaran, penyelidikan dan pembangunan serta perundingan. – BERNAMA










