MELAKA 5 Mac – Melaka United tidak akan memandang mudah kemampuan pasukan PKNS FC biarpun pernah mengalahkan pasukan itu 1-0 pada perlawanan kedua Liga Super bulan lepas.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata kejayaan pasukannya mengalahkan PKNS FC sebelum ini tidak boleh dijadikan sebagai ukuran kerana pertandingan di Piala FA berbeza dengan Liga Super.
“Saya menjangkakan perlawanan nanti akan lebih sukar kerana kita akan bertandang ke tempat lawan, jadi semua pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya agar pasukan mampu mara ke pusingan berikutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pada majlis undian pusingan kedua Piala FA 2019 di Petaling Jaya semalam, Melaka United diundi bertemu PKNS FC dalam perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam.
Bekas pemain kebangsaan era 80-an dan 90-an itu berkata PKNS juga adalah sebuah pasukan yang sedang meningkat naik dalam Liga Super dan sudah tentu semua pasukan akan mempersembahkan aksi terbaik untuk mara ke pusingan berikutnya.- BERNAMA










