Polis rampas 78 kg ganja disembunyi di dalam kereta - Utusan Malaysia

Polis rampas 78 kg ganja disembunyi di dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 5 Mac – Polis merampas sebanyak 78 kilogram dadah disyaki jenis ganja bernilai RM196,250 selepas menahan seorang lelaki di kilometer 137.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini semalam.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh anggota polis trafik selepas dikesan memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna oren dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika ditahan suspek sedang dalam perjalanan menuju ke Georgetown.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu mendapati terdapat tiga kotak mengandungi dadah disyaki kanabis (ganja) di tempat duduk penumpang belakang manakala dua lagi ditemukan di dalam but.

“Terdapat 80 ketulan mampat dadah disyaki kanabis di dalam kelima-lima kotak tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di bahagian pulau negeri ini memandangkan suspek tinggal di kawasan itu.

Katanya, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN