RIO DE JANEIRO 5 Mac – Bekas pemain Brazil, Jose Ferriera Neto mengkritik Neymar secara terbuka dengan menyatakan pemain itu tidak layak beraksi buat pasukan kebangsaan terutama selepas tersingkir di suku akhir Piala Dunia Rusia tahun lalu.
Bercakap kepada televisyen Brazil, bekas pemain berusia 52 tahun itu menyifatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak setaraf Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.
Neymar menjadi pemain termahal dunia pada 2017 selepas berhijrah dari Barcelona ke PSG dengan nilai perpindahan 222 juta euro (RM1.02 bilion) dan pada musim ini dia terlibat dengan 31 gol dalam 23 penampilan sebelum diketepikan kerana kecederaan kaki.
Menurut laporan media Sepanyol, meskipun sedang menjalani proses pemulihan bersama PSG, Neymar dikesan sedang berpesta di Rio.
“Neymar antara pemain terbaik dunia tetapi pernah awak lihat Messi bermain menentang Real Madrid? Pernah awak lihat Messi beraksi menentang Sevilla? Pernah awak lihat Cristiano Ronaldo bermain bersama Juventus pada usia 33 tahun? Dia merupakan penjaring terbanyak di Itali.
“Neymar bukan pemain, dia selebriti yang terlalu dimanjakan, kita tidak boleh mengkritik kerana bapanya akan marah. Orang yang berani mengkritik Neymar adalah (bekas pemain Brazil, Walter) Casagrande dan saya.
“Kami tewas di Piala Dunia kerana dia bermain seperti sampah dan tidak layak bersama pasukan kebangsaan,” kata Neto yang juga bekas pemain Corinthians.-AGENSI










