LANGKAWI – Pasangan suami isteri yang diburu polis bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sejak hujung bulan lalu dipercayai telah meninggalkan pulau peranginan ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan yang dijalankan di kuarters Hospital Langkawi mendapati pasangan tersebut tiada di kediaman mereka.
“Pemeriksaan dengan pihak Hospital Langkawi mengesahkan suspek wanita yang bekerja sebagai jururawat itu juga tidak hadir bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek tersebut yang dipercayai sedang menyembunyikan diri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita masih kesan mereka kerana ada maklumat mengatakan pasangan ini masih berada di Langkawi dan ada yang kata sudah keluar (dari Langkawi).
“Walau bagaimanapun kita percaya pasangan ini telah meninggalkan pulau ini,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis sedang mengesan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Langkawi sejak hujung bulan lalu.
Penganggur, Ramlan Abdul Rashid, 37, dan isterinya, Wan Roslina Wan Jusoh, 40, yang bekerja sebagai jururawat di wad kanak-kanak Hospital Langkawi dicari selepas polis menerima laporan dibuat oleh seorang wanita Indonesia berhubung kehilangan anaknya, Nur Aisyah Aleya Abdullah. – K! ONLINE










