KUALA LUMPUR 5 Mac – Ramai yang meneka, apabila Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas, Anifah berminat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, tekaan itu biarlah menjadi tanda tanya kerana pertemuan di antara Anifah yang juga bekas Menteri Luar dengan Dr. Mahathir adalah bagi membincangkan tentang persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi asas kepada penubuhan negara ini.
“Saya telah mengadakan pertemuan dan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri di kediamannya di The Mines. Intipati utama perbincangan kami ialah berkenaan Perjanjian Malaysia 1963.
“Secara konsisten saya menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya melaksanakan apa yang telah dijanjikan termasuk mengembalikan hak-hak negeri Sabah yang antaranya, pembayaran royalti petroleum,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pertemuan sama, Anifah turut menjelaskan kepada Dr. Mahathir bahawa pihaknya tiada halangan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin melebarkan sayapnya ke negeri Sabah kerana selari dengan norma demokrasi.
“Saya akan tetap menyokong Perdana Menteri dan kerajaan selama mana matlamat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 ditunaikan.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah menerima baik segala usul yang saya utarakan kepada beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE










