KUALA LUMPUR 5 Mac – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia untuk menyertai dan meratifikasi Statut Rome yang merupakan asas kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Presidennya, Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, ABIM menilai penyertaan serta ratifikasi tersebut sebagai isyarat jelas komitmen negara untuk memastikan keamanan sejagat dipelihara dengan menjunjung nilai keadilan dan hak asasi tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, ini kerana bidang kuasa ICC meliputi penyiasatan, perbicaraan serta hukuman terhadap jenayah-jenayah meliputi jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
“Besar harapan ABIM agar hak serta kedudukan Malaysia dalam ICC dapat dimanfaatkan untuk menegakkan keadilan serta membela hak asasi umat Islam di seluruh dunia khususnya di Palestin, etnik Rohingya, Syria, serta etnik Uyghur yang menderita akibat kezaliman serta penindasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sesungguhnya ratifikasi ini adalah detik bersejarah kerana ia adalah satu refleksi penting komitmen Malaysia sebagai sebahagian daripada warga antarabangsa yang menjunjung keamanan sejagat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan Malaysia semalam menerusi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome.
Wisma Putra menjelaskan, Jemaah Menteri pada lalu Disember lalu telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.
Keputusan itu juga telah disembahmaklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.
ICC ditubuhkan di bawah Statut Rome dan berkuat kuasa pada tahun 2002.
Kata Mohamad Raimi lagi, pembabitan Malaysia sebagai negara anggota ICC membuka ruang untuk negara ini berperanan aktif dalam arena politik antarabangsa khususnya menerusi artikel Artikel 13 (A) dan 14 (1) Statut Rome.
“Kedua-dua artikel itu secara jelas menetapkan hak serta peranan Malaysia sebagai negara anggota ICC yang boleh memberikan kesan yang sangat besar dalam mencorak politik antarabangsa berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











