PUTRAJAYA – Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr. Rameli Musa hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dana RM90 juta kepada Pas dan pembayaran cek sejumlah RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Rameli tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 9.55 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyoto Vellfire.
Bagaimanapun, kehadirannya tidak disedari pihak media meskipun sudah menunggu di pintu masuk suruhanjaya itu.
Selain Rameli, bekas exco Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidi Abdul Talib dan kerani parti itu, Mohd. Khoirol Anwar Mat Zuki tiba di SPRM kira-kira pukul 10 pagi tadi bagi membantu siasatan dua kes berkenaan.
Pada 28 Februari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu dilaporkan berkata, dia dipanggil berikutan namanya merupakan antara 10 individu disebut dalam hujah balas saman yang dikemukakan Rewcastle-Brown.
Terdahulu, pada 8 Februari lalu, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa juga dilaporkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes sama. – K! ONLINE











