KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia bagi Januari 2019 berkembang 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM159.3 bilion berbanding tempoh sama pada 2018, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Dalam kenyataan semalam, MITI berkata, eksport mencatatkan peningkatan 3.1 peratus kepada RM85.41 bilion manakala import tumbuh satu peratus kepada RM73.89 bilion yang menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM11.52 bilion, 19.2 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2018.
Ini merupakan lebihan dagangan bagi bulan ke-255 berturut-turut sejak November 1997.
Menurut MITI, peningkatan eksport bagi Januari didorong terutamanya daripada sektor pembuatan dan perlombongan yang masing-masing naik 2.9 peratus dan 23.5 peratus.
“Perdagangan dengan ASEAN pada Januari susut 2.2 peratus kepada RM41.97 bilion berbanding Januari 2018 dengan eksport tumbuh 3.4 peratus kepada RM24.98 bilion manakala import berkurangan 9.6 peratus kepada RM16.99 bilion.
“Perdagangan dengan China pula bertambah 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM28.92 bilion dengan eksport meningkat 9.1 peratus kepada RM11.02 bilion dan import naik 17.5 peratus kepada RM17.9 bilion,” katanya.
Menurut MITI, perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) turun 1.5 peratus tahun ke tahun kepada RM15.29 bilion. Eksport ke EU merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus kepada RM8.73 bilion pada Januari, manakala import menguncup 8.2 peratus kepada RM6.56 bilion.
Bagi barangan, eksport ke EU yang lebih tinggi disumbangkan oleh barangan perkilangan khususnya produk elektronik dan elektrik (E&E), produk berasaskan minyak sawit, peralatan pengangkutan, tekstil, pakaian dan kasut.
Jumlah perdagangan dengan Amerika Syarikat pula mencatatkan peningkatan 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.29 bilion dengan eksport adalah 9.4 peratus lebih tinggi kepada RM7.95 bilion dan import menyusut 5.9 peratus kepada RM5.33 bilion, menurut kementerian itu.
Menurut MITI, perdagangan dengan Jepun merosot 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM11.51 bilion, eksport turun lima peratus kepada RM6.67 bilion, namun import merekodkan pertambahan 2.9 peratus kepada RM4.85 bilion.
Pada Januari, pasaran lain yang menyaksikan pertumbuhan ketara bagi eksport adalah Taiwan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Eksport ke Taiwan merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 22.3 peratus tahun ke tahun kepada RM2.84 bilion, disokong terutamanya oleh eksport barangan E&E yang lebih tinggi.
Eksport terhadap UAE pula berkembang 32 peratus kepada RM896.9 juta berikutan eksport barang kemas yang meningkat. – Bernama











