M-Jannah sasar 450,000 ahli baharu - Utusan Malaysia

M-Jannah sasar 450,000 ahli baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) menyasarkan penyertaan 450,000 ahli baharu dalam perkhidmatan pengurusan jenazah lengkap 24 jam, M-Jannah menjelang bulan Mac tahun hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden Bank Muamalat, Sarimah Bashah berkata, penyertaan itu melibatkan jualan sebanyak RM35.5 juta dan pihaknya yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan ekoran penerimaan positif kebanyakan peserta dalam produk M-Jannah.

Jelasnya, menerusi kerjasama dengan syarikat pengurusan jenazah dan harta pusaka, Bumijez Sdn. Bhd. (Bumijez), produk tersebut telah mengumpul 4,530 keah­lian dalam tempoh setahun sejak ia diperkenalkan.

“Keahlian sehingga Mac ini melibatkan jualan seba­nyak RM500,000. Mela­lui sasaran 450,000 keahlian M-Jannah, setiap peremis daripada 64 cawangan Bank Muamalat perlu memperoleh 7,000 keah­lian dalam tempoh setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Maj­lis Setahun Bersama M-Jannah di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Pengerusi Eksekutif Bumijez, Mohd. Zainal Khamis.

Keahlian tahunan M-Jannah bermula RM59 untuk penyertaan individu dan RM249 untuk produk keluarga iaitu untuk ibu, bapa dan lima anak di bawah usia 18 tahun.

Produk tersebut menyediakan pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 dengan zikir, tahlil, khatam al-Quran dan wang khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris.

Selain itu, Bank Muamalat juga menawarkan diskaun sebanyak lima peratus untuk pendaftaran penyertaan baharu dan pembaharuan keahlian M-Jannah sepanjang bulan Mac ini sempena ulang tahun pertama produk tersebut.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Zainal, orang Islam khususnya perlu tahu bahawa apabila berlaku kematian, ia akan melibatkan kos dan produk tersebut merupakan satu alternatif supaya pengurusan jenazah mereka dapat diuruskan dengan lebih teratur.

“Melalui produk ini, Bumijez mahu membantu waris jenazah. Dengan kadar harga berpatutan, saya pasti kebanyakan rakyat di negara ini mampu untuk membuat pelaburan kepada diri sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN