Debaran 15 Mac - Utusan Malaysia

Debaran 15 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mac – Status sama ada Perlis akan menerima peruntukan geran atau tidak bakal terjawab dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pe­ngarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selewat-lewatnya pada 15 Mac ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, sekali pun Singa ­Utara disahkan tersingkir daripada pentas Liga Malaysia musim ini, namun isu berhubung geran belum diputuskan sepenuhnya.

“Status geran akan diketahui selewat-lewatnya 15 hari bulan tetapi status Perlis sendiri itu kekal disingkirkan daripada Liga Malaysia se­perti mana diumumkan dalam keputusan rayuan,” katanya pada majlis undian Piala FA 2019 di sini hari ini.

MFL pada pertengahan bulan lalu telah menerima kesemua dokumen daripada tujuh pasukan Liga Malaysia yang menghadapi masalah tunggakan gaji untuk diteliti, sebelum mengeluarkan keputusan sama ada mereka layak menerima geran tahunan atau tidak.

Biarpun tidak menyatakan jumlah geran yang sepatutnya dinikmati pasukan berkenaan musim ini, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super akan menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka yang beraksi di Liga Perdana.

Sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Yusoff Mahadi tidak menolak kemungkinan geran peruntukan itu akan dikekalkan buat Perlis.

Bagaimanapun, selepas Perlis disingkirkan dalam sai­ngan Liga Perdana, tiada lagi sebarang keputusan berhubung status geran buat pasukan itu yang berjumlah RM1 juta.

Difahamkan, jika Perlis berjaya mendapat geran, MFL sendiri yang akan menggunakan sumber kewangan tersebut untuk melunaskan hutang gaji pemain Singa Utara.

“Itu yang sedang dipertimbangkan oleh MFL. Banyak dokumen yang perlu mereka teliti. Kita telah mengeluarkan keputusan Perlis kerana ia adalah yang paling dinanti-nantikan.

“Pasukan lain tidaklah seberat Perlis, tetapi ia keputusan serius yang perlu dibuat,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN