PARIS 4 Mac – Dustin Johnson secara rasmi kembali merampas kedudukan No. 1 dunia daripada Justin Rose, hari ini, selepas kejayaannya menjuarai Kejohanan Golf Dunia di Mexico, seminggu lalu.
Pemain Amerika Syarikat (AS) itu mendahului dengan lima pukulan untuk memenangi pertandingan di Mexico City itu pada penghujung Februari yang sekali gus menjadikan tahun ke-12 berturut-turut dia mencatat kejayaan sekurang-kurangnya menjuarai satu kejohanan dalam jelajah PGA AS.
Pemain berusia 34 tahun itu mengetepikan pencabar dari England, Rose menerusi jurang mata yang kecil iaitu purata 0.0008 mata untuk merampas kedudukan teratas, yang pernah dihuni selama 81 minggu sepanjang kariernya.
Kedua-dua pemain berkenaan tidak beraksi dalam sebarang kejohanan, minggu ini, setelah mereka tidak menyertai Honda Classic di Florida, yang sekali gus membolehkan Johnson kembali ke kedudukan No. 1 dunia buat kali pertama sejak Tour Championship, September lalu.
Brooks Koepka bertukar kedudukan dengan Justin Thomas apabila dia melonjak satu anak tangga untuk berada di tempat ke-3, sementara, Rickie Fowler melompat ke tangga ketujuh dan berjaya memintas Xander Schauffele serta Jon Rahm yang masing-masing menghuni ranking ke-8 serta ke-9 dunia. – AFP











