Kecualikan cukai penderma PIBG - Utusan Malaysia

Kecualikan cukai penderma PIBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
ANTARA
peranan utama persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) ialah bertindak sebagai rakan kongsi untuk membantu dalam aspek pembangunan serta kemajuan sekolah dan pelajar. Perkara ini dilihat semakin signifikan dalam konteks Kementerian Pendidikan tidak dapat menampung semua keperluan sekolah terutama untuk menaik taraf pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas keperluan murid. Kekangan kewangan dan bilangan yang banyak menyebabkan kementerian tidak terdaya untuk menyediakan semua dana yang diperlukan oleh setiap sekolah. Akibatnya sekolah terpaksa bergelut untuk memperbaiki segala kerosakan kemudahan serta terlalu sukar untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.

Dalam situasi inilah sekolah terpaksa mengharapkan PIBG untuk mencari dana supaya dapat membantu keperluan yang semakin mendesak. Sebagai jawatankuasa sukarela, PIBG sering berhadapan pelbagai rintangan dan masalah untuk mendapatkan bantuan kewangan. Walaupun ada yang secara kreatif melakukan pelbagai program atau projek untuk mengumpul dana tetapi kebanyakannya tidak konsisten.

Kutipan sumbangan PIBG daripada ibu bapa juga sangat sedikit dan tidak mampu memenuhi pelbagai keperluan sekolah, apatah lagi ramai yang cukup liat untuk membayar. Justeru Kementerian Pendidikan dicadangkan melihat kemungkinan untuk memberikan pengecualian cukai kepada individu dan sektor korporat yang menyumbang terus kepada tabung PIBG. Buat masa sekarang, penyumbang kepada tabung PIBG tidak mendapat sebarang pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kita percaya jika ada pengecualian cukai ini, lebih banyak sektor korporat akan tampil menghulurkan sumbangan kepada tabung PIBG sekali gus boleh digunakan untuk memenuhi pelbagai keperluan sekolah. Dengan ini kebergantungan sekolah kepada bantuan kerajaan juga dapat dikurangkan. Semoga cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Pendidikan untuk dipanjangkan kepada LHDN.

NOOR MOHAMAD

Serdang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN