PUTRAJAYA 4 Mac – Penyertaan Malaysia dalam Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.
Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC pada hari ini.
Jelasnya, beliau juga telah mengemukakan instrumen kesertaan Malaysia itu kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua Negara Pihak dalam menegakkan prinsip
kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan dan kebertanggungjawaban,” jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan malam ini.
Wisma Putra menjelaskan, Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.
Jelasnya, Saifuddin telah sembahmaklum keputusan Jemaah Menteri itu kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.
“Ini adalah lanjutan kepada warkah daripada Perdana Menteri kepada pemangku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Disember 2018 yang lalu, atas perkara yang sama,” jelas Wisma Putra lagi.
Menurut Wisma Putra, ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rome dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.
Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
“Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang dan mengambil maklum akan peranan ICC sebagai pelengkap kepada sistem perundangan sedia ada,” jelas Wisma Putra. – UTUSAN ONLINE











