GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Ireland ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di dalam bilik di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Mayat mangsa, Barian Patrick O’ Reilly, 51, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pihak pengurusan kondominium tersebut kira-kira pukul 5 petang sebelum disahkan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala dipercayai diketuk menggunakan kuali serta kesan tikaman pada perut dan kelaran pada leher mangsa.
“Suspek turut meninggalkan sekeping nota yang menyatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa kerana lelaki itu terlibat dalam sindiket ‘scammer’,” kata Che Zaimani kepada pemberita sebentar tadi.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah tersebut mendapati peti besi di dalam bilik mangsa telah diselongkar dan terdapat kesan pergelutan.
“Polis telah meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit dan dalam usaha mengesan suspek yang dikenal pasti sebagai warga asing berkulit putih,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











