DORTMUND 4 Mac – Marco Reus menggesa Borussia Dortmund untuk mencipta sejarah, Rabu ini, dalam usaha pendahulu Bundesliga itu mengubah nasib mereka menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara.
Selepas tumpas 0-3 kepada Spurs di Wembley dalam timbal balik pertama peringkat 16 terbaik, Dortmund berdepan tugas berat menentang skuad bimbingan Mauricio Pochettino di Signal Iduna Park untuk perlawanan kedua pula.
Hanya tiga kelab, Barcelona, Roma dan Deportivo La Coruna, yang berjaya melepasi halangan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas tumpas dalam timbal balik pertama menerusi tiga gol atau lebih.
“Saya rasa sebelum ini telah ada pasukan yang berjaya mencipta sejarah, jadi, kami juga mampu berbuat demikian. Tetapi kami perlu berada pada prestasi terbaik dan menjaringkan gol pada detik yang sesuai,” kata Reus, yang merupakan kapten dan penjaring terbanyak Dortmund.
Dia terlepas aksi timbal balik pertama akibat kecederaan. Dortmund akan beraksi dengan kekuatan sebenar, dan hanya pertahanan, Lukasz Piszczek terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.
Spurs merupakan pasukan terakhir yang mencatat kemenangan dalam Liga Juara-Juara di Dortmund pada November 2017, apabila Son Heung-min dan Harry Kane menjaringkan gol bagi membantu pasukan mereka melakar kemenangan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan.
Selepas kata-kata bersemangat yang diberikan Reus, ketua jurulatih Dortmund, Lucien Favre pula menawarkan sudut pandangan yang lebih sederhana.
“Kami tahu perlawanan ini amat sukar, tetapi tiada siapa yang tahu,” kata Favre. – AFP











