Bale mungkin diketepikan lagi - Utusan Malaysia

Bale mungkin diketepikan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 4 Mac – Gareth Bale sekali lagi dijangka memanaskan bangku simpanan apabila Real Madrid turun dengan misi menyelamatkan musim mereka dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Ajax esok (4 pagi Rabu waktu Malaysia).

Selepas menang 2-1 dalam perlawanan pertama peringkat 16 akhir, keputusan seri di Santiago Bernabeu sudah memadai buat juara bertahan itu untuk melangkah ke suku akhir.

Bale yang menjadi sasaran kemarahan penyokong ketika Real tewas 0-1 kepada Barcelona dalam saingan La Liga, Sabtu lalu iaitu tiga hari selepas diaibkan 3-0 oleh musuh ketat mereka pada separuh akhir Copa de Rey sedia direhatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus Real, Santiago Solari sebaliknya dijangka membariskan Lucas Vazquez dalam kesebelasan utama untuk bergandingan dengan pemain berusia 18 tahun, Vinicius dan Karim Benzema.

Sejurus tamat perlawanan Sabtu lalu, ketika bilik media masih dipenuhi wartawan yang menunggu kehadiran Solari, sebuah stesen radio Sepanyol sudahpun melaporkan mengenai tindakan Bale meninggalkan stadium ketika perlawanan belum berakhir.

Seorang kolumnis akhbar Marca hari ini menyifatkan tindakan Bale sebagai ‘melanggar sempadan profesional’, biarpun sumber rapat Real berulang kali menafikan laporan tersebut sambil menegaskan, Bale menunggu Solari bersama pemain-pemain lain sejurus tamat perlawanan.

Beberapa pemain Real turut menyelar laporan tersebut dengan menegaskan ia adalah berita ‘sampah’ dan sama sekali tidak benar.

Menurut mereka, biarpun diejek penyokong ketika meninggalkan padang, Bale, 29, tetap profesional dan dilihat sebagai sasaran mudah buat penyokong untuk melepaskan kemarahan.

Real gagal menjaringkan gol dalam 10 perlawanan musim ini, sesuatu yang tidak pernah berlaku kepada gergasi bola sepak Sepanyol itu dalam tempoh 10 tahun.

Pasukan itu kini menduduki tangga ketiga La Liga dengan 48 mata – 12 mata di belakang pendahulu, Barcelona. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini