Hidup peneroka makin sukar - Utusan Malaysia

Hidup peneroka makin sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 4 MAC – KEHIDUPAN generasi kedua Felda yang tinggal bersama ibu bapa semakin terhimpit apabila sebilangannya masih bergantung kepada pendapatan hasil kelapa sawit yang mengalami kejatuhan harga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang generasi kedua Felda Kota Gelanggi 2 di sini, Hasmarizal Abdullah Hashim, 35, meng­anggap dugaan yang menimpa keluarganya cukup hebat kerana bukan sahaja berdepan harga hasil kelapa sawit rendah tetapi ibunya menghidap penyakit buah pinggang.

“Setelah penyakitnya dikesan doktor tiga bulan lepas, ibu saya, Meriam Usi, 60, terpaksa menjalani dialisis di sebuah pusat rawatan swasta di Bandar Pusat Jengka.

“Tuhan sahaja yang tahu kesusahan kami tujuh beradik berdepan harga sawit yang rendah dan berusaha mengumpul wang membiayai rawatan dialisis ibu yang mencecah RM3,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi 2 baru-baru ini.

Menurutnya, pendapatan bu­­lanan daripada hasil kelapa sawit di bawah RM600 tidak mampu menjamin keselesaan untuk menguruskan perbelanjaan keperluan dapur dan kebajikan lain yang melebihi jumlah tersebut.

Dia bagaimanapun bersyu­kur kerana adik beradiknya lain turut menghulurkan bantuan yang dapat meringankan beban.

“Namun mereka juga perlu membiayai tanggungan dan perbelanjaan sendiri dalam sena­rio kenaikan harga barang pada masa ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasmarizal memberitahu, keluarganya pernah memohon dengan hospital kerajaan bagi membolehkan ibunya menjalani dialisis tetapi perlu menunggu giliran kerana masih ramai dalam kalangan penghidap penyakit buah pinggang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Mahu tidak mahu untuk jaminan kesihatan ibu berterusan, kami ahli keluarga menghantar ibu ke pusat rawatan swasta buat masa ini untuk dialisis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN