LONDON 4 Mac – Harry Kane menegaskan, Tottenham akan melupakan kekecewaan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dalam usaha bintang antarabangsa England itu membantu pasukannya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara menjelang pertembungan dengan Borussia Dortmund, Rabu ini.
Dalam tempoh tujuh hari, harapan Tottenham untuk memenangi Liga Perdana Inggeris berkecai selepas tumpas kepada Burnley dan Chelsea, sementara Sabtu lalu, dalam aksi derby utara London mereka diikat Arsenal 1-1.
Ia merupakan kegagalan terbaharu Tottenham, sejak Mauricio Pochettino mengambil alih pasukan lima tahun lalu.
Spurs terselamat daripada ditimpa kekalahan ketiga berturut-turut, apabila Hugo Lloris menyelamatkan sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang yang sekali gus menghalang Arsenal menambah derita pasukan tetangga mereka itu.
Namun, Kane yakin Tottenham mampu bangkit daripada kekecewaan dan dia mencabar pasukannya untuk menjadikan perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di Dortmund sebagai pemangkin semangat mereka yang kian luntur.
“Dua keputusan yang mengecewakan dalam masa seminggu, perlawanan derby utara London merupakan satu perlawanan yang sesuai yang membuktikan kesungguhan kepada peminat bahawa kami bersedia berjuang bagi mengharungi baki musim ini.
“Ia satu mata, kami mahukan tiga mata, tetapi sekurang-kurangnya kami berjaya mengelak daripada ditimpa kekalahan lagi dan kini, kami fokus kepada Dortmund dan selepas itu, Southampton.
“Sepanjang minggu lalu, kami meletakkan diri kami di bawah tekanan, tetapi kami pernah melakukannya sebelum ini dan setiap perlawanan adalah penting untuk kami,” kata Kane, yang menyempurnakan sepakan penalti untuk jaringan penyamaan menentang Arsenal.
Hanya selangkah lagi Tottenham untuk merealisasikan impian mereka ke suku akhir selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 di Wembley dalam timbal balik pertama.
Sekarang, mereka perlu menyudahkan tugas dalam aksi menentang Dortmund bagi menempah laluan ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2011. Jika berjaya berbuat demikian, maka Tottenham semakin menghampiri peluang untuk ke separuh akhir buat kali pertama sejak memenangi Piala UEFA pada 1984. – AFP











