SAO PAULO 4 Mac – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar kini membiarkan pintu kembali terbuka untuknya berpotensi menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Sambil tidak menafikan kemungkinan itu ada, pemain bola sepak termahal dunia itu yang sedang bergelut untuk pulih daripada kecederaan tapak kaki sejak 23 Januari lalu berkata, ia tidak mustahil berlaku.
“Pada masa depan, segalanya mungkin (untuk ke Real). Saya tidak kata saya akan ke Real Madrid. Semua orang tahu saya sudahpun melengkapkan impian bermain untuk Barcelona.
“Real Madrid adalah antara kelab yang hebat di dunia. Setiap pemain mengimpikan untuk bermain dengan mereka. Buat masa ini, saya masih gembira di Paris,” katanya kepada sebuah stesen televisyen di Brazil.
Neymar yang menyertai PSG pada 2017, bagaimanapun, mengakui masih mempunyai hubungan rapat dengan pemain Barcelona termasuk Lionel Messi yang baru-baru ini turut bertanyakan khabar tentang dirinya yang cedera.
Mengenai rakan sepasukannya, Kylian Mbappe di PSG, penyerang antarabangsa Brazil berusia 27 tahun itu menyifatkan pemain muda Perancis tersebut adalah pemain terbaik dunia dalam pembikinan.
“Dia bakal menjadi pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia dan saya akan cuba membantunya ke arah itu sebaik mungkin. Kami berkawan rapat sama seperti dengan Lionel, walaupun, masing-masing bersaing untuk Ballon d’Or,” tambahnya yang akan terlepas aksi kedua pusingan kedua Liga Juara Juara Eropah menentang Manchester United, Khamis ini. – AFP











