KOTA BHARU 4 Mac – Ketiga-tiga pemimpin utama parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) harus duduk semeja berbincang mengenai masalah yang berbangkit dengan bijaksana.
Setiuasaha BN negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pemimpin-permimpin terbabit juga diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ikatan di antara ketiga-tiga parti, UMNO, MCA dan MIC terburai.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, mereka juga harus berlapang dada dan tidak lagi hidup dalam penafian selepas pengajaran yang besar diberikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Pada saya pemimpin ketiga-tiga parti perlu berbincang dengan penuh kebijaksanaan. Jangan kerana satu kenyataan kita bercakaran di masa yang sepatutnya kita senada.
“Marah tiada penghujungnya, berwaras dan berbincanglah sama-sama ketua, jangan letakkan emosi di depan. Kita mewakili bangsa, soal siapa relevan boleh tengok keputusan pilihan raya.
“Bertemu, berpisah dan bertemu kembali adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan bersama MCA dan MIC yang mencadangkan supaya BN dibubarkan bagi memberolehkan kedua-dua parti itu meneroka peluang pakatan politik baharu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kedua-dua parti itu menyatakan kekecewaannya dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tersebut tidak lagi dihormati. – UTUSAN ONLINE











