Jijik ikan kering dijemur dipijak, dimakan sekumpulan anjing - Utusan Malaysia

Jijik ikan kering dijemur dipijak, dimakan sekumpulan anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Mac – Pihak berkuasa perlu memandang serius mengenai tahap kebersihan kawasan pemprosesan ikan dan udang kering di Langkawi, Kedah apabila terdapat banyak aduan diterima termasuk kes makanan tersebut dipijak oleh sekumpulan anjing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terbaharu, seorang wartawan sebuah stesen televisyen sempat merakam satu insiden anjing memakan dan memijak ikan yang dijemur.

Situasi itu menjijikkan apabila difahamkan ikan berkenaan yang diproses di kawasan tersebut adalah untuk pasaran di seluruh negeri utara khususnya Kedah dan Perlis.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Kawasan Utara (PPMKU), Che Johan Che Hassan berkata, beliau banyak menerima aduan berkaitan kebersihan pemprosesan makanan terutama membabitkan ikan dan udang kering di kawasan utara.

Katanya, insiden sekumpulan anjing yang memenuhi kawasan jemuran ikan kering tidak boleh dipandang ringan kerana makanan tersebut akan dimakan pula oleh pengguna.

“Pihak yang berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berada di barisan depan dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini,” katanya, di sini hari ini.

Tambah beliau, ikan kering merupakan antara makanan kegemaran rakyat khususnya di negeri-negeri utara dan sehubungan itu tahap kebersihannya perlu dijaga.

“Untuk rekod, kira-kira 95 peratus pengusaha ikan dan udang kering terdiri daripada pengusaha bukan Melayu sementara penggemarnya pula adalah 95 peratus adalah orang Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN