PELABUHAN KLANG 4 Mac – Satu sindiket penyeludupan rokok kretek menggunakan kereta yang diubah suai dianggarkan bernilai lebih RM1 juta tumpas apabila tiga individu ditahan dalam satu serbuan di Kuala Selangor di sini pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.00 pagi itu, turut ditahan seorang tekong darat yang cuba bertindak berani mengekori pasukan Marin Bukit Aman dengan menaiki kereta Toyota Vios daripada kawasan tangkapan sehingga ke pintu masuk Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang di sini.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Gempur Marin (Ungerin) telah mengesan dua buah kenderaan iaitu Toyota Alphard dan Hiace.
Menurutnya, pasukannya telah memintas kedua-dua kenderaan itu di lampu isyarat di Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor dan hasil pemeriksaan menemukan rokok kretek tidak bercukai di dalam guni berwarna putih.
“Kira-kira 30 minit kemudian, kita berjaya menahan satu lagi kenderaan jenis Toyota Hiace yang melakukan kesalahan yang sama.
“Secara keseluruhan, kita berjaya merampas 6,420 karton rokok kretek antaranya jenis Nusantara Gudang Garam, Minna Merah Barokah dan Gudang Garam Surya. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dan kenderaan dirampas dianggarkan bernilai RM1.01 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Polis Marin, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











