Mayat lelaki dalam keranda terselamat dalam kebakaran van - Utusan Malaysia

Mayat lelaki dalam keranda terselamat dalam kebakaran van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang pemandu van mayat dan seorang kelindan hanya sempat menyelamatkan diri selepas kenderaan dipandunya membawa mayat seorang lelaki di dalam keranda terbakar di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintu Pong di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan van berkenaan dan keranda tersebut terbakar hampir 100 peratus.

Difahamkan, pemandu van itu dalam perjalanan ke Wat Ariyakiri, Pauh Lima, Bachok dari bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi pengurusan pembakaran mayat.
 
Seorang saksi dikenali sebagai Chia, 43, berkata, sebaik dia tiba di tempat kejadian van tersebut masih terbakar di bahagian enjin hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan pemandu van serta orang ramai tidak dapat menyelamat keranda tersebut.

 “Saya tidak pasti punca kejadian itu berlaku dan beberapa minit kemudian anggota bomba dan penyelamat tiba memadamkan kebakaran,” katanya. 

Katanya, mungkin keadaan keranda yang agak tebal serta kecekapan bomba berjaya menyelamatkan mayat berkenaan dari terbakar di lokasi kejadian.

Dalam pada itu Ketua Operasi Balai  Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim,  Komander Operasi, Tengku Marzuki Tuan Mat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.37 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, sejurus tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kenderaan jenis Nissan Vanette itu sedang terbakar.

“Pihak kami memadamkan kebakaran menggunakan air dari tangki dua jentera melibatkan 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim dan Tunjong. 

 “Namun van tersebut telah hangus terbakar sebanyak 100 peratus dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini