SHAH ALAM – Sebuah jentolak terpaksa digunakan bagi mengangkat seekor tapir betina seberat 300 kilogram yang terperangkap di dalam longkang di Kota Kemuning di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 pagi itu, operasi membawa keluar tapir dari longkang sedalam satu meter itu mengambil masa lebih empat jam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor, Abd. Rahim Othman berkata, seramai 12 anggota Perhilitan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 9.30 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi didapati seekor tapir dewasa dalam keadaan sedar dan mengalami luka ringan di bahagian badan berada di dalam longkang yang sempit bersebelahan kawasan perumahan.
“Rawatan awal serta ubat pelali kemudiannya terpaksa diberikan oleh doktor veterinar sebelum operasi pemindahan.
“Sebuah jentolak terpaksa digunakan bagi mengangkat tapir dengan operasi pemindahan mengambil masa selama dua jam sebelum tapir itu dialihkan di dalam sebuah kotak khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut beliau, operasi tersebut yang turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Klang, polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditamatkan pukul 2.15 petang.
Tambah Abd. Rahim, tapir itu kemudiannya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk sesi pemantauan dan rawatan selanjutnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan memandangkan habitat tapir terdekat adalah di Jugra, Kuala Langat yang jaraknya kira-kira 32 kilometer dari lokasi kejadian.
“Tapir ini kebiasaannya rabun pada waktu siang dan kemungkinan menjadi faktor haiwan itu terjatuh di dalam longkang,” katanya. – K! ONLINE











