SEOUL – Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan mengumumkan semalam untuk menamatkan latihan tentera tahunan utama berskala besar bagi menyokong usaha diplomatik untuk cuba memujuk Korea Utara melucutkan program senjata nuklearnya.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas pertemuan kedua antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Hanoi berakhir tanpa sebarang perjanjian rasmi tetapi kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berunding.
AS menempatkan hampir 30,000 askar di Korea Selatan, manakala latihan tentera bersama ratusan ribu anggota tentera Korea Selatan itu selama ini mencetuskan kemarahan Korea Utara.
Walaupun Trump tetap enggan mengundurkan askar AS dari Seoul, beliau berulang kali mengadu bahawa kos latihan tentera itu amat, amat mahal.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Jeong Kyeong-doo dan rakan sejawatnya dari AS, Patrick Shanahan bersetuju untuk menamatkan latihan tentera yang dinamakan Key Resolve dan Foal Eagle itu semasa mereka bercakap melalui telefon kelmarin.
Pada masa lalu, latihan tentera Foal Eagle disertai oleh kira-kira 200,000 anggota tentera Korea Selatan dan 30,000 askar AS.
Ia disusuli oleh Key Resolve, sebuah perang simulasi yang bermula pada bulan Mac dan berlangsung selama 10 hari.
Washington sebaliknya akan mengadakan latihan tentera yang diubah suai agar bercorak pertahanan dan bukan serangan yang bermula hari ini sehingga 12 Mac ini, demikian menurut kenyataan tentera bersama semalam. – AFP
AFP
GAMBAR fail bertarikh 26 April 2017 menunjukkan dua buah kereta mengambil bahagian dalam latihan tentera bersama di Pocheon, 65 kilometer ke timur laut Seoul.
AGENSI
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan seekor dingo berada di tepi sebuah pantai di Pulau Fraser, Australia.
AFP
ANGGOTA polis Thailand berkawal di sebatang jalan di wilayah Narathiwat, selatan negara itu pada 27 Februari lalu.
AFP
KAPAL MV Solomon Trader yang terkandas di Pulau Rennell, sekitar 240 kilometer ke selatan ibu kota Kepulauan Solomon, Honiara.











