HONG Kong Trade Development Council (HKTDC) merupakan satu badan yang bertanggungjawab dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan dari Hong Kong ke arena antarabangsa.
Selain daripada menjadi hab membeli-belah dan pembikinan drama televisyen yang menjadi tontonan ramai, Hong Kong juga merupakan salah satu lokasi pengeluaran bagi banyak jenama tempatan dan produk gaya hidup inovatif.
Baru-baru ini, HKTDC menerusi DG Studio telah mengambil inisiatif dengan membawa pelbagai perkakas dan cenderamata gaya terkini serta premium dari Hong Kong kepada pembeli-pembeli di Malaysia.
Sebanyak 12 jenama terkenal dibawa kepada orang ramai iaitu Artiart, Cardhoda, Eco Concepts, Hoobbe, Hyone, Kilovest, Konstar, MH Blocks, Paris Garden, SOAP Studio, Tea Lab dan Team Green.
Hadiah
Kesemua 12 jenama berkenaan memberi fokus kepada produk-produk gaya hidup tertentu yang bukan sahaja boleh digunakan untuk kegunaan sendiri, malah boleh dijadikan sebagai hadiah.
Menurut Pengarah HKTDC Malaysia, Hoh Jee Eng, apa yang menjadikan produk-produk itu berbeza dengan barangan lain adalah dari segi kreativiti, keunikan dan gaya terkini rekaannya.
“Kami berbangga apabila dapat menampilkan produk-produk yang berinspirasikan gaya hidup Hong Kong kepada rakyat Malaysia.
“Kami yakin bahawa sesetengah produk yang anda nampak hari ini mampu menceriakan hari anda kerana setiap satunya direka dengan penuh warna-warni dan unik,” katanya pada majlis memperkenalkan produk berkenaan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengacara dan Personaliti Televisyen, Dahlia Shazwan; aktres popular Malaysia, Eyka Farhanna dan seorang influencer media sosial, Venice Mini.
Dalam pada itu, antara produk yang menjadi tarikan adalah jenama Tea Lab. Bersesuaian dengan namanya, ia membawa pengguna meneroka aktiviti berkaitan pembuatan teh.
Memikat hati
Pencinta teh akan mendapati bahawa proses membancuh secawan teh merupakan sesuatu yang menyeronokkan dengan menggunakan penyedut dan aksesori membuat teh yang kreatif.
Jee Eng turut menambah, SOAP Studio pula berkolaborasi dengan artis terkenal B-Wing bagi melahirkan karakter-karakter adiwira yang cukup menarik dan amat terkenal seperti Wonder Woman dan Batman. Ia dihasilkan dalam produk cenderamata yang pasti akan memikat hati peminat dan kolektor adiwira mengagumkan berkenaan.











