PRK Semenyih: PH Selangor kerja lebih kuat penuhi janji  - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: PH Selangor kerja lebih kuat penuhi janji 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor menerima iktibar kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam untuk lebih bekerja kuat dalam melunaskan janji-janji mereka. 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini termasuk program yang memberi manfaat kepada rakyat serta inisiatif-inisiatif baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat. 

“Setiap tindakan dan keputusan kita diteliti dan dinilai oleh rakyat, mahupun di peringkat persekutuan mahupun negeri, termasuk penerangan kita kepada rakyat berkenaan reformasi politik dan ekonomi yang sedang dijalankan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan pimpinan Pakatan Harapan di Negeri Selangor akan meneliti faktor-faktor keputusan ini dan menerima iktibar daripada keputusan oleh rakyat Semenyih dalam PRK ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam PRK DUN Semenyih semalam, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi DUN tersebut selepas calonnya, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi dengan majoriti 1,914.
 
Sementara Nik Aziz Afiq Abdul, 25, mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi dan calon BEBAS iaitu Kuan Chee Heng, 54, atau lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Kentang’ sekadar meraih 725 undi.

Amirudin menjelaskan, beliau akan mengesyorkan segala agenda pembangunan di Semenyih akan diteruskan termasuk beberapa cadangan yang diterima daripada rakyat dalam kempen tersebut. 

“Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PH mempunyai komitmen penuh kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya. 

Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor daripada Bersatu pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar mengetepikan wakil daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan mewakili PSM.

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini