SANDAKAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini ditangguhkan ke 7 pagi esok dengan empat lagi mangsa masih hilang sejak kejadian 6 petang Khamis lepas.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini, operasi yang turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan, Pasukan Polis Marin Sandakan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu ditangguhkan 6 petang tadi.
Setakat ini, dua ditemukan lemas iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun dikenali sebagai Kamir Herman, yang mayatnya dijumpai 4 petang semalam, dan mayat seorang wanita dipercayai mangsa bot karam itu berumur 42 tahun.
Identiti wanita itu belum dikenal pasti.
Operasi SAR itu diaktifkan kira-kira 2 petang semalam selepas tiga lelaki dan dua wanita, yang hanyut di perairan selama 18 jam sejak kejadian itu, diselamatkan oleh Mawilla 2 tengah hari semalam.
Bot itu, yang membawa seorang tekong dan 10 penumpang, dipercayai dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina ke Sandakan sebelum terbalik akibat laut bergelora di perairan dekat Pulau Nunuyan. – Bernama











