Kenali ketulan payudara bukan kanser - Utusan Malaysia

Kenali ketulan payudara bukan kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN
Saya berusia 22 tahun dan masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi. Baru-baru ini saya perasan ada ketulan pada payudara kanan. Saya segera berjumpa doktor dan pemeriksaan doktor memaklumkan bahawa ketulan tersebut ialah fibroadenoma. Saya juga telah diberikan temu janji seterusnya untuk menjalani beberapa penyiasatan lagi. Apakah sebenarnya penyakit fibroadenoma ini? Adakah ia juga kanser payudara? – Ema, Kota Bharu

JAWAPAN

Pembentukan ketulan pada payudara ialah gejala yang sering terjadi dalam kalangan wanita. Kebanyakan daripada ketulan ini mudah dirawat atau dalam kebanyakan kes, ia tidak memerlukan sebarang pembedahan dan memadai untuk dipantau oleh pesakit sahaja. Ini disebabkan kebanyakan daripada ketulan tiada risiko untuk menjadi kanser payudara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebenarnya sebanyak 80 hingga 85 peratus daripada ketumbuhan pada payudara bersifat benigna iaitu tidak mempunyai ciri-ciri kanser dan membesar dengan kadar yang perlahan terutama dalam kalangan wanita yang berusia bawah 40 tahun. Namun begitu, sekiranya anda mempunyai ketulan pada payudara, anda perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan bahawa ketulan tersebut bukan kanser. Tindakan yang anda ambil ini adalah tepat.

Terdapat banyak jenis ketulan pada payudara bukan kanser. Antara ciri-ciri penting, ketulan pada payudara ini akan berubah mengikut kitaran haid masing-masing. Ketulan ini akan membesar pada waktu haid dan mengecil pada waktu yang lain. Pada kebiasaannya, mereka akan merasakan sakit pada payudara tersebut semasa kedatangan haid. Dua jenis ketulan yang biasa dialami terutama wanita muda ialah fibroadenoma dan perubahan fibrosista (fibrocystic) pada payudara.

Fibroadenoma ialah gejala payudara yang paling kerap dialami dalam kalangan wanita muda. Dalam kebanyakan kes, fibroadenoma ini tidak memerlukan rawatan kerana mempunyai kadar pembesaran yang perlahan dan bersaiz kecil iaitu kurang daripada dua sentimeter. Dalam beberapa kes, ketulan ini boleh mengecut dan hilang tanpa apa-apa rawatan. Namun begitu, sekiranya ketulan ini bersaiz melebihi daripada tiga sentimeter, ketulan fibroadenoma boleh dikeluarkan melalui pembedahan yang ringkas dan mudah.

Fibrosista pula ialah perubahan payudara yang disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh. Fibrosista ialah ketumbuhan yang jinak dan bukannya kanser. Perubahan fibrosis ini adalah pembentukan tisu penghubung tambahan pada payudara dan ia adalah tisu sama yang membentuk ligamen dan tisu parut.

Apapun dalam hal di atas, kedua-dua jenis ketulan tersebut tidak dapat dipastikan punca sebenar. Doktor mengandaikan, puncanya daripada perubahan hormon semasa kitaran haid. Walaupun kedua-duanya tidak membawa risiko kanser atau risikonya kecil sahaja, wanita yang mempunyai ketulan ini perlu berjumpa doktor untuk mengesahkan ketulan itu bukan kanser dan mendapat pandangan tentang rawatan seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini