Empangan Lebir, ECRL bawa harapan baharu Kelantan

Empangan Lebir, ECRL bawa harapan baharu Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (kanan) bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Projek Empangan Lebir bagi menangani masalah banjir dan bekalan air bersih serta pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Kota Bharu pada Disember ini menjadi antara tumpuan pembangunan Kelantan menerusi Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri menyambut baik peruntukan Belanjawan Persekutuan 2027, khususnya inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Katanya, perancangan Projek Empangan Lebir dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir dan memastikan bekalan air bersih di Kelantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha ini turut dilengkapi penyiapan fasa kedua Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok serta pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai dan Loji Rawatan Air di Machang yang kini berada pada peringkat reka bentuk.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan giat kerja-kerja penggantian paip air usang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nassuruddin berkata, pengoperasian ECRL dari Gombak ke Kota Bharu pada Disember ini akan melengkapkan jaringan pengangkutan di negeri itu.

Katanya, penyambungan landasan ECRL ke Rantau Panjang serta pembinaan stesen bas bersepadu dengan Stesen ECRL Kota Bharu turut menjadi antara inisiatif yang disambut baik kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan hasrat Kerajaan Persekutuan melengkapkan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian dengan teknologi pembedahan robotik serta membina tabika untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim.

“Saya yakin Belanjawan Persekutuan 2027 dan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini bakal membawa berita baik kepada rakyat,” ujarnya.

Mohd. Nassuruddin turut berharap cadangan penyambungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Terengganu ke negeri itu diberi perhatian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini