Makanan Melayu sememangnya terkenal dengan nilai dan elemen tradisional yang diwarisi dari zaman ke zaman. Bahan-bahan masakan yang sering digunakan seperti cili, serai, ketumbar, santan kelapa dan rempah ratus dilihat terus kekal hingga hari ini dan membuatkan rasa serta keenakannya tidak banyak berubah.
Walau apa cara sekali pun, masakan Melayu tetap dilihat sebagai antara masakan yang unik dan enak dengan gabungan rasa manis, pedas, masin dan masam. Jika ditanya rahsia keenakan masakan Melayu sudah tentu disebabkan rempah asli atau bahan asas yang segar.
Bagi anda yang ingin merasai kelazatan masakan Melayu dengan rempah asli bolehlah berkunjung ke restoran Rempah Kari Mak Siti yang terletak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Menurut pengasasnya, Siti Hajar Salleh, 60, kebanyakan makanan di restoran ini merupakan menu ilhamnya daripada rempah-rempah yang sedia ada. Mahu memartabatkan masakan Melayu, restoran yang sudah berusia 17 tahun ini menyediakan pelbagai jenis lauk dengan cita rasa asli.

Bagi Siti Hajar, keistimewaan hidangan yang ditawarkan pihaknya terletak pada konsep masakan ibu yang disediakan oleh beliau sendiri.
Misalnya, kesemua hidangan yang disajikan di sini menghidangkan masakan Melayu tradisional yang pastinya berpatutan dengan harga yang ditawarkan.
“Kami menawarkan lebih kurang 40 jenis masakan Melayu asli tanpa masakan gabungan (fusion Food) seperti yang ditawarkan di mana-mana restoran lain yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.
“Sebab terlalu banyak restoran menyediakan masakan gabungan, saya ingin berikan suatu kelainan terhadap sentuhan masakan asli yang pastinya lebih kena dengan selera orang tempatan,” jelasnya.
Dari pelbagai variasi lauk-pauk seperti gulai sayur nangka, ikan bakar, pecal, sayur lodeh, daging masak lada hitam dan ulam pastinya membangkitkan selera mereka yang menggemari masakan Melayu asli.
Siti Hajar berkata, restoran ini mempunyai penggemarnya tersendiri. Bukan setakat orang Melayu, Cina malah pelancong asing juga berminat dan gemar pada masakan Melayu .
Seperkara lagi yang menarik tentang restoran ini ialah masakannya tidak menggunakan perasa tiruan seperti MSG. Sebaliknya, Siti Hajar memilih untuk mempelbagaikan rempah dan herba Melayu asli daripada Rempah Ratus Mak Siti serta memastikan pemilihan bahan mentah seperti sayur, ikan, ayam, daging segar supaya kualiti keenakan masakan sentiasa terjamin.
Bahan-bahan yang digunakan dalam rempah ini terdiri daripada bahan yang segar dan bebas daripada sebarang bahan awet serta ejen pewarna. Dengan adanya rempah ratus yang dihasilkan menggunakan bahan segar dan dikisar menurut standard kualiti cukup tinggi, pastinya mudah untuk sesiapa menyediakan pelbagai resipi kegemaran di rumah tanpa perlu risau rasa masakan berubah daripada kebiasaan.
“Di sini, kami mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Pelanggan boleh memilih menu daripada pembuka selera, salad, sup, masakan laut dengan harga berpatutan. Kami juga menyediakan menu percubaan, iaitu hidangan dalam kuantiti kecil untuk tujuan rasa.
Dengan cara ini tetamu kami dapat merasa lebih keistimewaan dan membuat pilihan yang sesuai dengan cita rasa mereka,” ujar anak kelahiran Perak ini.
INFO
Restoran Rempah Kari Mak Siti
Alamat: 1 & 3 Jalan Jujur 2, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
Waktu operasi : 7 pagi hingga 10 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu dan tutup pada Ahad.











