SHAH ALAM – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup bergelumang dengan bau busuk apabila menyorok di dalam tong sampah selepas bangunan asrama mereka di Bandar Sultan Suleiman, Klang di sini diserbu Jabatan Imigresen malam tadi.
Bagaimanapun, tindakan itu ternyata sia-sia apabila gagal mengaburi pihak berkuasa yang berjaya mengesan mereka. dalam operasi selama lima bermula pukul 10 malam.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam serbuan itu seramai 149 PATI lelaki berjaya diberkas hasil pemeriksaan terhadap 679 orang warga asing.
Katanya, ini melibatkan pecahan seramai 82 Bangladesh, India (25), Myanmar (24), Indonesia dan Nepal masing-masing adalah 7 orang serta Pakistan (4).
“Terdapat juga PATI bertindak bertindak bersembunyi di atas siling, di bawah katil dan dalam longkang sebagai helah melepaskan diri.
“Selain itu, 10 PATI juga nekad terjun setinggi 10 meter dari tingkat dua dari bangunan asrama setinggi empat tingkat itu yang mengakibatkan mereka cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kejayaan itu susulan aduan dan risikan pihaknya berikutan kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.
Ujar Mohamad Shukri, siasatan mendapati PATI itu telah digajikan oleh pihak industri sejak enam bulan lalu dengan menjadikan bangunan itu sebagai penempatan asrama mereka.
“Kesemua mereka yang telah ditahan untuk siasatan lanjut telah di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE











