Bilik hotel tingkat 11 - Utusan Malaysia

Bilik hotel tingkat 11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah yang akan anda baca sebentar lagi baru saja berlaku beberapa bulan lalu di sebuah hotel di Selangor. Tapi maaf, saya tidak dapat sebut namanya kerana saya bekerja di situ. Cuma yang boleh saya katakan, ia sebuah hotel lama dan agak terkenal juga.

Pukul 2 pagi, saya dan Zaki membuat pemeriksaan rutin di setiap tingkat. Zaki periksa tingkat satu hingga tujuh, saya dari lapan ke atas. Pengawal keselamatan yang lain berada di bilik kawalan dan mengawasi bahagian bawah hotel.

Sewaktu sampai di tingkat 11, saya lihat ada seorang lelaki berdiri dalam keadaan pelik. Dia hanya berseluar pendek dan bersinglet. Sekejap berdiri tercegat, sekejap mendekatkan telinga ke pintu bilik di hadapannya. Setelah itu dia berundur dan meraup tangan serta tengkuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lelaki itu seperti cemas. Sebaik sahaja nampak saya datang, dia terus melambai dan meletakkan jari telunjuk dekat bibir isyarat menyuruh saya diam. Saya percepatkan langkah.

“Saya nak encik dengar sendiri,” kata lelaki itu dengan suara cemas, sebaik saja saya sampai di situ. Dia memperkenalkan diri sebagai Jeffri dan saya anggarkan usianya awal 30-an. Mukanya pucat.

“Kenapa?” saya bertanya separuh berbisik.

“Saya nak cakap pun susah,” balas Jeffri sambil menyuruh saya merapatkan telinga ke pintu. Dia mahu saya mendengar sesuatu dari dalam bilik itu. “Encik dengarlah sendiri.”

Saya rapatkan telinga ke pintu bilik itu. Seminit berlalu… dua minit.. tiada apa-apa. Sunyi saja. “Awak nak saya dengar apa?” saya bertanya selepas memberitahu Jeffri saya tak dengar apa-apa pun dari dalam bilik itu.

Jefri meraup mukanya yang masih pucat. “Tadi saya dengar sendiri encik, saya tak bohong,” jelasnya.

Dengar apa, saya bertanya.

Inilah cerita Jeffri…

MENINGGAL DUNIA

Dua hari lepas Jeffri dan sahabatnya, Aliff, datang menginap di hotel ini. Kedua-dua mereka dari Singapura. Mereka dihantar oleh syarikat teknologi maklumat tempat mereka bekerja untuk menghadiri mesyuarat dan seminar dengan syarikat induk serta prospect client. Mereka dijadualkan menginap selama empat hari.

Malam pertama, Jeffri mengajak Aliff untuk berjumpa dengan seorang kawannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dia merancang untuk melepak sampai pukul 1 atau 2 pagi, memandangkan program pada hari kedua akan bermula agak lewat, sekitar pukul 10.

Tapi Aliff enggan mengikut. Letih, katanya. Sememangnya sepanjang hari itu dia nampak kurang sihat. Cerita Jeffri lagi, selepas makan malam di hotel bersama Aliff, dia pergi berjumpa dengan kawannya di Kampung Baru dan hanya pulang ke bilik pukul 2.30 pagi.

Sebaik sahaja menyalakan lampu, dia terkejut melihat Aliff terkapar di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mulutnya berbuih, tangan membengkok dan jari-jemarinya tergenggam. Matanya separuh terbuka, muka pucat. Badannya sejuk, dia tidak bernafas lagi.

Bila dengar cerita Jeffri itu, saya terus mencelah, “Oohh… kawan awaklah yang meninggal dunia semalam ya?”

Jeffri mengiyakan. Ya, semalam saya tidak bekerja. Tapi cerita itu sampai ke telinga saya sebaik saja sampai pukul 11 malam tadi, diberitahu oleh kawan-kawan. Ada yang mengatakan Aliff meninggal dunia kerana sakit jantung, ada juga yang mengatakan kerana sawan. Mayatnya dihantar pulang ke Singapura pada tengah hari, selepas post mortem.

Jadi, apa masalahnya sekarang?

Kata Jeffri, malam ini dia sengaja pulang lewat ke bilik. Memang saspens tidur seorang diri selepas kawan sebilik meninggal dunia. Hendak balik ke Singapura tidak boleh, urusannya di sini tersangat penting.

Entah berapa lama selepas terlelap, tiba-tiba dia dengar suara orang mengerang kesakitan di katil sebelah, iaitu katil yang pernah digunakan oleh arwah Aliff. Dan yang lebih menakutkan, suara itu sama dengan suara arwah dan memanggilnya, “Jeff… tolong aku, Jeff…”

Mulanya Jeffri menyangka dia bermimpi. Namun selepas membuka mata, ternyata ia benar-benar berlaku. Suara itu memang datangnya dari arah katil bujang tempat arwah Aliff tidur malam semalam. Jeffri juga dengar seperti orang sedang mengisar-ngisar di atas katil, seolah-olah sedang gelisah.

Bingkas Jeffri menekan suis lampu di hujung kepala dan terus bangun. Sebaik saja lampu menyala, dilihatnya katil Aliff kosong. Namun yang menakutkan ialah cadar kelihatan lekuk serta berkeronyok seperti ada orang baring di atasnya. Sedangkan, siang tadi katil itu telah dikemaskan dan cadarnya licin.

“Apa lagi, saya melompat daripada katil dan terus ke luar,” cerita Jeffri.

Kata Jeffri, walaupun sudah berada di luar, dia masih dapat mendengar bunyi orang menangis dan memanggil-manggil dari dalam bilik itu. Ketika dia berdiri di luar bilik dan mendekatkan telinganya ke pintu itulah saya sampai dan kisah ini diceritakannya kepada saya.

KAPUR BARUS

Dengan kebenaran pihak hotel, malam itu saya bantu Jefri mengemas barangnya dan dipindahkan ke bilik lain di tingkat enam. Tetapi kisah misteri ini belum berakhir.

Selepas kejadian itu, ramai penghuni Aras 11 mengadu dengar bunyi orang meraung, menangis dan meminta tolong di ruang koridor. Bunyi itu datangnya dari bilik yang pernah Jeffri dan Aliff menginap.

Selain itu, pintu bilik mereka juga diketuk dengan kuat pada lewat malam serta waktu dinihari. Apabila dibuka, tiada sesiapa. Ada kalanya mereka terhidu bau kapur barus dan air mawar.

Para pekerja hotel pula mengadu, pintu lif sering terbuka dan terkatup di tingkat berkenaan. Ada yang nampak lif itu terbuka di tingkat bawah, kemudian naik hingga ke tingkat 11. Di situ ia berhenti dan pintunya terbuka sendiri, seolah-olah ada orang masuk dan keluar.

Semua ini menyebabkan kami menjadi takut hendak membuat rondaan pada waktu malam. Tambah takut bila ada kawan saya yang mendakwa semasa lalu di hadapan bilik yang pernah dihuni oleh Jeffri dan Aliff, dia terdengar bunyi orang mandi, mengetuk pintu dari dalam serta membuka dan menutup almari.

Oleh sebab itu, bilik berkenaan ditutup sementara waktu daripada tempahan. Ini bagi mengelakkan penghuni diganggu dengan kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Sebulan berlalu, suatu malam saya membuat rondaan di tingkat tersebut. Perasaan seram sudah hilang kerana saya dengar, bunyi-bunyi misteri itu telah berakhir selepas dua minggu kematian Aliff.

Rupa-rupanya tidak begitu. Sewaktu melintas bilik berkenaan, saya terasa ada angin datang dari arah depan dan merempuh sisi kanan badan saya, diikuti dengan bau kapur barus yang agak kuat. Macam lipas kudung saya lari ke lif dan turun ke bawah.

Masih berlaku lagikah gangguan itu? Saya tidak pasti. Tapi kalau ada pembaca ruangan ini yang hendak merasainya, bolehlah cuba. Tapi saya minta maaf, saya tidak boleh beritahu hotel mana, nanti saya jadi penganggur pula. (Azani, Petaling Jaya.)

Saya nak cakap pun susah,” balas Jeffri sambil menyuruh saya merapatkan telinga ke pintu. Dia mahu saya mendengar sesuatu…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini