BANGKOK, Thailand merupakan kota pilihan kebanyakan rakyat Malaysia untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Hanya dua jam sahaja menaiki kapal terbang, anda sudah sampai di Bangkok.
Selalunya Bangkok dikaitkan dengan aktiviti membeli-belah. Masih mengutamakan aktiviti ini, syarikat pelancongan, Selamatbercuti.com membuat kelainan dengan mengajak orang ramai bercuti sambil belajar memasak bersama instafamous, Yatie Kitchen selama empat hari tiga malam.
Istimewanya program ini, para peserta akan membeli bahan makanan halal dan segar di pasar. Peserta akan diajar memasak dan menjamu selera selepas kelas tersebut. Ikan stim halia limau, udang, sotong rasa paprik dan tomyam adalah antara sajian utama masakan Thailand yang dipelajari. Ramuan dengan daun limau purut, serai, halia, lengkuas, cili padi dan santan dalam masakan itu menambah aroma. Hidangan ini akan dihasilkan sendiri oleh peserta dalam kelas memasak yang diadakan selama hampir lima jam.
Selain belajar memasak peserta juga akan di bawa ke kilang aksesori kulit, permata dan fabrik sutera Thailand. Umpama lagu dan irama, demikianlah halnya sutera dan Thai.
Bukan hanya menghasilkan kain sutera, Thailand turut mempunyai Pusat Kecemerlangan Sutera di Universiti Kasetsart bagi tujuan penyelidikan dalam bidang membabitkan penghasilan sutera.
Sejarah perkembangan kain sutera bermula apabila ahli perniagaan Amerika Syarikat, Jim Thompson memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa sekitar 1950-an dan 1960-an. Kualiti kain sutera bergantung kepada banyak faktor termasuk ulat yang menghasilkan benang sutera.
Jika anda mengunjungi Bangkok, jangan lupa untuk melawat sungai Chao Phraya. Memandangkan sebahagian peserta ialah wanita, penganjur tidak lupa membawa mereka ke syurga membeli-belah seperti pasar hujung minggu Chatuchak, MBK Centre, Siam Paragon.
Dengan lebih daripada 8,000 gerai, pasar hujung minggu Chatuchak berada pada kedudukan sebagai salah satu pasar tempatan terbaik dan terbesar di Bangkok. Antara barangan yang dijual di sini terdiri daripada barang-barang perhiasan, cenderamata, pakaian dan aksesori fesyen tempatan. Semuanya boleh didapati dengan harga yang murah.
Dalam pada itu, Selamatbercuti.com mengajak orang ramai yang ingin bercuti sambil belajar memasak bersama Yatie Kitchen di Ho Chi Minh, Vietnam yang terhad kepada 26 peserta sahaja. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang https://selamatbercuti.com.
Pembaca boleh menyumbang artikel destinasi kepada [email protected]











