KUALA LUMPUR 2 Mac – Pemimpin-pemimpin muda yang berkebolehan dan mempunyai imej segar akan menerajui jawatankuasa pemantauan Kabinet bayangan MCA.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak sembilan jawatankuasa pemantauan ditubuhkan meliputi hal ehwal negara dan pertahanan; perkembangan ekonomi; infrastruktur asas dan pembangunan serta kerajaan tempatan, bandar dan luar bandar.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri walau bagaimanapun tidak mendedahkan nama yang akan menerajui jawatankuasa tersebut.
Di samping itu kata beliau, jawatankuasa pendidikan dan pembangunan sumber manusia; kesihatan dan alam sekitar, telekomunikasi dan multimedia, wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat; keharmonian kaum serta sukan dan belia turut ditubuhkan.
“Ini merupakan kabinet bayangan MCA sebagai parti pembangkang.Kami akan memantau pentadbiran setiap kementerian dan prestasi mereka.
“Prinsip kami adalah untuk membincangkan politik secara rasional dan mempersoalkan dengan profesional.
“Kami percaya ini merupakan keperluan asas menjadi parti pembangkang yang bertanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini, hari ini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Tahun MCA di wisma MCA, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE.











